KLaTE Oh QLATe
Kelantan atau lebih dikenali dengan panggilan klate
atau qlate oleh Warga Serambi Mekah ini. Kelantan Darul
Naim merupakan sebuah negeri yang unik terutama dari aspek politik dan
sosio-budaya masyarakatnya. Dari perspektif sejarah pemerintahan,
Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang diperintah
oleh RAJA PEREMPUAN iaitu Tuan Puteri Cik Siti Wan Kembang.
Oleh itu, sehingga ke hari ini Kelantan masih diberi jolokan dengan nama Negeri
Cik Siti Wan Kembang, bersempena nama Raja Perempuan Kelantan.
Sekarang Kerajaan
Kelantan berpayung di bawah naungan ke Bawah DYMM Tengku
Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali
dengan Sultan Muhammad V. Kelantan
ditadbir oleh kerajaan PAS di bawah
pimpinan Tuan Guru Bentara Setia Haji Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar
Kelantan yang dikenali dengan panggilan Tok Guru oleh penduduk
Kelantan. Tok Guru, merupakan pemimpin yang amat menitikberatkan
ciri-ciri keislaman dalam pentadbirannya selaras dengan prinsip perjuang "Membangun
Bersama Islam". ciri-ciri
kepimpinan yang di miliki beliau iaitu Kesederhanaan sikapnya bukan sahaja
disanjungi oleh rakyat Kelantan, malah turut dikagumi oleh rakyat di negeri-negeri
lain. Di bawah pimpinan beliau, Kelantan mengalami banyak perubahan dan
kemajuan dalam pembangunan setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Pentadbiran di
Kelantan terbahagi kepada 10 unit pentadbiran. Unit-unit pentadbiran ini
dikenali dengan nama "Tanah Jajahan", berbeza
dengan unit pentadbiran di negeri-negeri lain di Semenanjung yang
dikenali dengan nama "Daerah". Jajahan
tersebut ialah Kota Bharu, Tumpat,
Pasir Mas, Pasir Putih, Machang, Bachok, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah
dan Jeli.
Kota Bharu merupakan ibu negeri Kelantan. Semasa pemerintahan
Cik Siti Wan Kembang bandar ini dikenali dengan nama
Tanah Serendah Sekebun Bunga. Kini Kota Bharu diberi nama jolokan "Kota Bharu Kota Budaya", sinonim dengan peranannya yang menjadi pusat
kegiatan budaya bagi rakyat seluruh negeri Kelantan.
Kerajaan Kelantan
amat menitikberatkan pendidikan terutama pendidikan agama di samping pendidikan
akademik sehingga Kelantan dikenali dengan ‘Negeri
Serambi Mekah’ kerana pernah menjadi pusat tumpuan ulama dari serata
dunia suatu ketika dahulu.
Majoriti peduduk Kelantan terdiri daripada
orang Melayu yang beragama lslam. Ciri-ciri kemelayuan amat dominan di
Kelantan sehinggakan rakyat Kelantan berketurunan Cina dan Siam telah
diasimilasikan dengan kebudayaan Melayu-Kelantan. Bahkan, kebanyakan
rakyat Kelantan khususnya yang berketurunan Cina dan Siam berpakaian seperti
orang Melayu, masak masakan cara Melayu dan amat fasih bertutur dalam
loghat Melayu Kelantan.
Malahan, mereka juga dipanggil dengan nama timangan Melayu oleh jiran-jiran
mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu. Semua ini telah serasi dengan
kehidupan mereka seharian. Sesungguhnya perbezaan agama tidak pernah
menjadi penghalang bagi seluruh rakyat Kelantan untuk hidup di bawah satu
rumpun budaya yang sama. lkatan inilah yang menjadikan hubungan mereka
amat erat walaupun berlainan agama.