Tuesday, March 5, 2013

kErJaSaMa......


JAKIM TERIMA KUNJUNGAN DEPARTMEN AGAMA INDONESIA
Pada 16 Januari 2009 dan 19 Januari 2009 yang lalu, Jakim menerima kunjungan dari dua delegasi Departmen Agama Republik Indonesia. Pertemuan dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama, aras 8, JAKIM, Putrajaya dan dihadiri oleh wakil-wakil Bahagian di Jakim.

Delegasi pertama pada 16 Januari 2009 diketuai oleh Dr.H.Rudi Subiyantoro, Pengarah Bahagian Kerjasama Luar Negeri, manakala rombongan kedua pada 19 Januari 2009 diketuai oleh Haji Mubarok, Pengarah Biro Hukum dan Kerjasama Luar Negeri. Kunjungan ke Jakim merupakan salah satu atur cara lawatan kerja delegasi Departemen Agama RI selama beberapa hari ke Malaysia.

Dalam perbincangan yang dijalankan, anggota delegasi didedahkan dengan peranan dan fungsi JAKIM secara menyeluruh melalui persembahan video korporat JAKIM dalam bahasa Melayu. Pada sesi dialog, kedua-dua pihak berkongsi pandangan dan maklumat berkenaan isu pendidikan agama Islam, undang-undang kekeluargaan Islam, pengurusan halal dan Darul Quran.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada pihak JAKIM dan kedua-dua pihak berharap agar kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara akan diteruskan pada masa akan datang.




MAKLUMAT DAN PENGALAMAN DALAM PELAKSANAAN PENSIJILAN HALAL
Isu pengurusan dan pensijilan halal di Malaysia merupakan inti pati utama perbincangan antara Jakim dan delegasi Southern Border Provinces Administrative Centre (SBPAC) pada satu pertemuan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 8, Jakim pada 11 Julai 2011 bersamaan 9 Syaaban 1432H. Pertemuan dipengerusikan oleh Tuan Hj Che Leh Bin Che Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perhubungan, Jakim, manakala taklimat berkaitan Pensijilan Halal disampaikan oleh En. Mohd Fakarudin B. Masod, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal. Majlis ini turut dihadiri oleh beberapa orang wakil Bahagian dari Jakim yang turut menyumbang idea dan berkongsi pengalaman. Delegasi seramai 39 orang ini diketuai oleh Mr. Boontom Munegan.

Dalam pertemuan yang sama, video korporat Bahagian Hub Halal telah ditayangkan kepada semua para hadirin. Melalui tayangan tersebut, anggota delegasi didedahkan dengan visi, misi dan objektif serta kaedah pelaksanaan Pensijilan Halal  oleh Jakim di Malaysia. Dalam ucapan alu-aluan ketua delegasi, beliau mengucapkan terima kasih atas kesudian Kerajaan Malaysia khususnya Jakim menerima kedatangan delegasi mereka. Semasa sesi dialog dan soal jawab, isu prosedur pensijilan halal di luar negara, peranan Halal Industry Development Corporation (HDC) dan beberapa isu terkini berkaitan halal turut menarik perhatian para delegasi.

Kunjungan delegasi Southern Border Provinces Administrative Centre (SBPAC) ke Jakim merupakan salah satu agenda delegasi dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia dan Indonesia. Di akhir pertemuan, pihak delegasi merakamkan penghargaan atas kerjasama Jakim berkongsi maklumat dan pengalaman mengendalikan Pensijilan Halal di Malaysia. Pihak delegasi juga berharap jalinan kerjasama yang lebih erat dapat dijana bagi membantu meningkatkan industri halal khususnya bagi Umat Islam di  Selatan Thai.


LAWATAN DELEGASI JAKIM DAN JAIN KE MEDAN


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam di negeri-negeri (JAIN) telah mengadakan lawatan ke Medan dari 29 hingga 30 November 2012 dalam rangka diskusi mengenai isu pernikahan yang melibatkan warganegara Malaysia dan Indonesia yang beragama Islam. Sesi pertukaran maklumat telah diadakan dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang diikuti dengan perbincangan  dengan Kantor Urusan Agama Medan.